Search

Lelaki ditahan, polis rampas dadah ekstasi, eramin 5

October 5, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis ekstasi dan pil disyaki eramin 5 dalam serbuan di kawasan Apartment, Jalan Bundusan, di sini semalam.

Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil serbuan itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut pasukan serbuan merampas lima peket plastik disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 155.9 gram dan satu strip yang mengandungi 10 biji pil disyaki pil eramin 5 seberat tiga gram dalam simpanannya.

“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM3,700 dan suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dibuat.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dadah jenis ekstasi dan eramin 5 yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Penampang. – Foto/IPD Penampang

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata pihaknya memperingatkan kepada masyarakat supaya tidak terjebat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah. – Info X