PENAMPANG: Sebuah pusat hiburan di daerah ini yang beroperasi lebih masa ‘digempur’ polis menerusi operasi ‘Op Noda’ dan ‘Op Pusat Hiburan’, malam tadi.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada mulanya memeriksa 27 individu yang berada di pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan menahan seorang pengurus pusat hiburan berkenaan atas kesalahan premis beroperasi hiburan awam lebih masa.
“Pada masa sama, pasukan operasi juga merampas peralatan muzik milik premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958.
“Sehubungan itu, polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis pusat hiburan di daerah ini supata sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – Info X