Search

Lapangan Terbang Tawau bakal hab baharu AirAsia

October 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: AirAsia sedang memperluaskan operasinya di Sabah dengan mengembangkan hab Kota Kinabalu dan menjadikan Tawau sebagai hab terbarunya.

Perkembangan itu dikongsikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Datuk Kapten Chester Voo dalam taklimatnya kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew, di sini, semalam.

Usaha itu katanya selaras dengan rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak penerbangan antarabangsa terus ke Asia Utara dalam rancangan syarikat penerbangan itu pada tahun depan.

Jelasnya, Sabah sentiasa menjadi salah satu destinasi paling popular dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan yakin Tawau akan menjadi hab baharu yang strategik untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus berpotensi, antara lainnya ke Shanghai, Guangzhou dan Taipei.

“Melalui perkhidmatan Fly-Thru sedia ada AirAsia, kami juga komited untuk mengukuhkan hubungan Sabah dengan destinasi antarabangsa lain di seluruh Asia, Australia dan seterusnya.

“Kerajaan Sabah telah menyokong kami dalam perjalanan pertumbuhan kami, dan apabila negeri ini terus memajukan aspirasi ekonominya, kami berharap dapat bekerjasama dengan perniagaan tempatan dan komuniti untuk menyokong pembangunan yang bermakna dan mampan. Kami berada di sini untuk anda (Sabah),” katanya.

Christina (empat kanan) menerima kotak hadiah khas memaparkan produk makanan terbaik Santan daripada Goh dengan disaksikan Voo (tiga kiri).

Dalam penerangannya kepada Christina mengenai rangkaian dan kehadiran AirAsia di Sabah setakat Oktober 2024, Voo berkata syarikat penerbangan itu mengendalikan 370 penerbangan mingguan ke negeri ini dengan lebih 77 peratus adalah untuk laluan domestik.

Katanya, daripada 34 laluan sedia ada AirAsia, 15 adalah laluan domestik dan selebihnya antarabangsa.

“AirAsia merancang untuk menyediakan kapasiti 5.71 juta penumpang pada 2024 dengan rancangan untuk memperluaskan angka ini kepada 7.87 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus.

“Sehingga 31 September 2024, AirAsia telah membawa sejumlah 4.61 juta penumpang bagi tahun ini,” katanya.

Dalam hal itu, Voo menekankan kepentingan mewujudkan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa lapangan terbang.

Jelasnya, infrastruktur yang mencukupi dan struktur kos yang optimum di Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) adalah penting untuk menyokong rancangan pengembangan AirAsia.

Sebagai tindak balas, Christina memberi jaminan kepada AirAsia bahawa beliau akan mengemukakan isu syarikat penerbangan itu kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan setelah kementeriannya menerima cadangan rasmi daripada AirAsia untuk sokongan.

Mengenai isu kesesakan di Lapangan Terbang Tawau, beliau berkata sudah diberi taklimat oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengenai Rancangan Pemodenan dan Pengoptimuman Lapangan Terbang pada 2018 dan 2023.

“Tahun lalu, saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja naik taraf akan bermula tahun ini tetapi saya masih belum melihat sebarang perkembangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh, penyedia perkhidmatan katering AirAsia, yang turut beraama dalam kunjungan hormat itu, memberi taklimat mengenai peranan dan kejayaan Santan sebagai penyedia perkhidmatan makanan.

Santan, yang bermula sebagai penyedia katering dalam penerbangan AirAsia, telah mengembangkan operasinya dengan ketara di luar industri penerbangan.

Selain terus menjadi penyedia perkhidmatan makanan dalam penerbangan terkemuka untuk Kumpulan AirAsia dan syarikat penerbangan lain, Santan mempelbagaikan penawarannya termasuk makanan sedia dimakan (RTE) yang tersedia di kedai serbaneka dan rangkaian, serta penyelesaian katering pejabat.

“Kami berhasrat untuk menjadikan Santan sebagai pemain utama di Kota Kinabalu, menjadikannya sebuah kisah kejayaan sebenar Sabah dengan membekalkan hidangan Santan kepada syarikat penerbangan dan seterusnya.

“Kami melihat potensi besar dalam mendapatkan lebih banyak bahan tempatan dari Sabah untuk produk kami. Selain itu, kami sedang meneroka peluang untuk memperkenalkan hasil unik Sabah ke Semenanjung, dan akhirnya, ke seluruh dunia.

“Kami berhasrat menjadi kuasa penting dalam rantaian bekalan makanan, memacu inovasi dan pertumbuhan sambil memberi sumbangan besar dan berkekalan kepada ekonomi Sabah.

“Kami berupaya mengetengahkan produk Sabah – yang diperoleh terus daripada nelayan dan petani melalui AirAsia Grocer, yang berfungsi sebagai platform untuk mengembangkan kebolehpasaran dan capaian mereka.

“Ini akan mengurangkan keperluan dan kebergantungan kepada orang tengah, dan membolehkan Santan membantu pengeluar secara langsung. Kami berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan Santan kepada pengeluar segar dan peruncit di Sabah,” jelas Goh.

Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Josie Lai; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jimit Jeffery; Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan; Ketua Dasar Global & Hubungan Kerajaan, Lim Boon Seong dan Pengarah Hubungan Kerajaan, Zamani Mohd Rafique. – Info X