PENAMPANG: Dua lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi ‘Op Mabuk’ di Jalan Bundusan, di sini malam tadi.
Mereka yang berusia 27 san 41 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sebanyak 80 kenderaan diperiksa dan dua lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Sammy berkata ketika Op Mabuk yang dijalankan pihak polis, turut mengeluarkan 14 keping saman di atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dengan dibantu oleh lapan anggota polis berjalan dengan lancar dan berakhir kira-kira 4.30 pagi tadi.
“Seramai 100 individu diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya. – Info X