KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo di jajaran Sepanggar-Berungis, Tuaran, di sini, diingatkan supaya memantau dengan teliti aliran trafik bagi mengurangkan masalah kesesakan di laluan berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, pelbagai langkah boleh diambil ke arah itu seperti memanjangkan lorong untuk pusingan ‘U’, menutup lokasi pusingan ‘U’ haram dan melebarkan lorong sedia ada.
Katanya, jurutera projek itu perlu sentiasa peka dan bertindak proaktif terhadap aduan pengguna yang terkesan dengan masalah kesesakan akibat kerja pembinaan lebuh raya yang memakan masa lama untuk disiapkan.
“Masalah utama di laluan ini ialah kesesakan lalu lintas. Jadi, kita perlu melihat bagaimana caranya kita dapat mengurangkan masalah itu, antaranya buat kerja pembinaan pada waktu malam, sebagai contoh.
“Adakalanya juga kita hanya perlu anjakkan penghadang laluan supaya daripada satu lorong menjadi dua lorong dan daripada dua lorong kepada dua lorong setengah, yang setengah itu untuk motosikal.
“Mungkin juga kita perlu panjangkan lorong untuk pusingan ‘U’ dan memastikan tiada pusingan ‘U’ haram. Jadi kita kena berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika meninjau kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bagi Pakej Kerja Lapan (WP08) di Telipok, dekat sini, hari ini.

Projek berkenaan bermula pada 3 Disember 2019 dan sepatutnya siap pada 3 September 2022, namun berlaku kelewatan yang membabitkan tiga tambahan masa (EOT) dengan yang terbaharu dijadual siap pada 10 Disember 2025.
Selain menaik taraf laluan sedia ada kepada lebuh raya, projek itu turut merangkumi pembinaan enam jambatan iaitu, Persimpangan Norowot, Jambatan Telipok serta empat ‘elevated U turn’, masin-masing dua di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Bakut, Tuaran.
Ahmad berkata dua punca utama kelewatan kerja di jajaran berkenaan iaitu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti oleh pihak yang berkaitan.
“Ada dua sebab kelewatan, satu disebabkan pengambilan tanah dan satu lagi pengalihan utiliti. Maka ada EOT sebanyak tiga kali untuk projek ini.
“Pengambilan tanah menjadi agak rumit kerana kadang-kadang tuan punya tanah membawa ke mahkamah dan kemudian membayar pampasan dan sebagainya,” katanya.
Pengguna jalan raya di laluan berkenaan merungut berikutan kesesakan trafik yang teruk terutama pada waktu puncak. – Info X