RANAU: Walter, Herman dan Daved Simpat masing-masing menjuarai kategori Lelaki Elit dan Lelaki Veteran kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-31 di Taman Kinabalu, Kundasang, hari ini.
Sementara itu, pelumba dari Filipina, Sandi Menchi Abahan sekali lagi menjuarai kategori Wanita Elit selepas memenanginya pada edisi 2016 dan 2017.
Walter, 35 yang berasal dari Kiulu menamatkan larian sejauh 26 kilometer dalam masa tiga jam, 36 minit dan 42 saat meninggalkan pesaing dari Indonesia, Yusri Nanda yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa tiga jam,39 minit dan 51 saat.

Seorang lagi pelumba tempatan, Jude Maikol, menduduki tempat ketiga dengan masa tiga jam, 44 minit dan 11 saat.
Bagi kategori Lelaki Veteran, juara kategori itu ketika edisi ke-30 pada 2017 dan ke-29 pada 2016, Safrey Sumping terpaksa mengalah kepada Daved yang menjuarai pada edisi ke-31, hari ini.
Daved mencatat masa 3 jam 36 minit dan 13 saat, menewaskan Safrey yang mencatat 3 jam, 52 minit dan 49 saat, serta seorabg lagi pelumba tempatan, Milton Amat di tempat ketiga dengan masa 4 jam satu minit dan 13 saat.

Dalam kategori Wanita Elit, Sandi kembali menjuarai kategori itu dengan mencatat masa 4 jam 50 minit dan 35 saat, menjadikannya kemenangan ketiga dirinya selepas 2016 dan 2017.
Beliau menewaskan pelumba Malaysia, Tahira Najmunisaa Muhammad Zain di tempat kedua dengan masa lima jam, 18 minit dan 11 saat, manakala pelari tempatan, Danny @ Kuilin Gongot, di tempat ketiga dengan masa lima jam 59 minit dan 35 saat.
Juara, naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, RM6,000 dan RM4,000.

Pelumba di tempat keempat hingga 10 turut menerima hadiah wang tunai. – Info X
