LAHAD DATU: Kemalangan yang mengorbankan tiga individu termasuk kanak-kanak di Jalan Felda Sahabat 6 Cenderawasih, di sini petang semalam dipercayai berpunca daripada motosikal ditunggang seorang lelaki memotong sebuah kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan Proton Iswara Aeroback.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan polis di tempat kejadian, kemalangan itu berlaku ketika sebuah motosikal jenis SM Sport 110 yang ditunggang lelaki warga Indonesia berusia 55 tahun dari arah Lahad Datu menuju ke Felda Sahabat.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu oleh lelaki berusia 62 tahun bersama tiga individu termasuk kanak-kanak yang datang dari arah Felda Sahabat ke Lahad Datu.
“Selepas itu, Proton Iswara Aeroback hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun bersama lima penumpang yang datang dari arah Lahad Datu ke Felda Sahabat.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang penumpang Proton Iswara Aeroback meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan dua penumpang Proton Iswara Aeroback termasuk seorang kanak-kanak parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang Nissan Frontier tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan menerima rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Tungku.
“Sampel darah kedua pemandu dan penunggang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.
“Sehubungan itu mana-mana individu melihat kejadian ini boleh terus menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Dzulbaharin menasihatkan kepada semua pemandu supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. – Info X