Search

Berita palsu kaitkan pemain dengan nahas pesawat, Sabah FC ambil tindakan

October 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bercadang mengambil tindakan terhadap sebuah portal berita dalam talian yang didakwa menyiarkan berita tidak benar kononnya pemain kelab itu terbabit dalam satu nahas pesawat.

Pengurusnya, Rafie Robert, menyifatkan penyiaran laporan bertajuk ‘Nahas Pesawat Tragis Meragut Nyawa Pemain Terbaik Sabah FC’ itu sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, pemain Sabah FC ketika ini giat menjalani latihan untuk perlawanan persahabatan dengan Tawau FA pada 12 Oktober ini, manakala empat pemain menyertai skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan di New Zealand pada 14 Oktober.

Tangkap layar berita palsu kaitkan pemain Sabah FC dengan nahas pesawat.

Berikutan itu, katanya Sabah FC akan menimbang untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap portal terbabit.

“Empat pemain iaitu Stuart Wilkin, Dominic Tan, Daniel Ting dan Darren Lok dipanggil ke skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober ini.

Rafie Robert.

“Laporan portal itu berniat jahat dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC serta peminat bola sepak di negeri ini.

“Kami akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan demi keselamatan pemain Sabah FC,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menerusi laporan portal dikenali sebagai Newsstation.COM itu, dunia bola sepak dilaporkan sedang berduka selepas nahas kapal terbang yang dahsyat meragut nyawa beberapa pemain terbaik Sabah FC.

Kemalangan tragis itu kononnya berlaku dalam perjalanan ke perlawanan liga yang penting, membuatkan peminat dan komuniti bola sepak global terkejut dan tidak percaya.

Laporan itu mengatakan penerbangan sewa yang membawa pemain dan kakitangan kejurulatihan Sabah FC sedang menuju ke perlawanan di tempat lawan apabila pesawat itu mengalami pergolakan teruk dan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara, sebelum terhempas di kawasan terpencil.

Rafie berkata, setakat ini semua pemain dan pihak pengurusan Sabah FC berada dalam keadaan selamat dan tiada kejadian seperti yang dilaporkan portal terbabit.

“Orang ramai khususnya peminat sukan bola sepak di Sabah jangan mudah percaya terhadap laporan yang sengaja menimbulkan kekeliruan itu.

“Sabah FC masih meneruskan perancangannya menjalankan sesi latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee,” katanya. – Info X