Search

Jual minyak masak subsidi di media sosial, lelaki ditahan untuk siasatan

October 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki menjual minyak masak peket bersubsidi dalam kuantiti yang banyak dan harga tidak munasabah di platform media sosial serta menjadi sebuah rumah di Taman Hings, Jalan Kobusak, di sini, sebagai ‘stor penyimpanan’ menerima padah apabila diserbu pihak berkuasa dalam Ops Tiris, semalam.

Serbuan itu dijalankan kira-kira jam 7 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah hasil daripada maklumat awam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata hasil daripada risikan yang dijalankan mendapati aktiviti penyimpanan dan penjualan minyak masak pelet bersubsidi ini dijalankan di lokasi berkenaan.

Susulan itu, katanya penyamaran dilakukan oleh pegawai penguat kuasa dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan oleh penjual untuk datang ke alamat yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

Minyak masak peket dan gula pasir kasar yang ditemui di ruang tamu rumah dalam serbuan di Taman Hings Jalan Kobusak, Kota Kinabalu. – Foto/KPDN

“Serbuan dilakukan serta merta ketika transaksi jual beli berlaku dan hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak peket satu kilogram bersubsidi pelbagai jenama.

“Turut ditemui gula pasir kasar satu kilogram yang disimpan di kawasan kaki lima rumah serta ruang ramu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak peket satu kilogram pelbagai jenama dianggarkan sebanyak 8,177 kilogram manakala gula pasir kasar satu kilogram sebanyak 48 kilogram.

“Semua minyak masak peket dan gula pasir kasar seterusnya disita bagi tujuan siasatan lanjut kerana penjaga premis yang ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan minyak masak peket dan gula pasir kasar yang disimpan di dalam rumah berkenaan.

Pegawai penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan ke minyak masak peket dan gula pasir kasar yang dirampas dalam serbuan di Taman Hings, Jalan Kobusak, Kota Kinabalu. – Foto/KPDN

“Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM20,579.30. seorang penjaga premis lelaki warga tempatan berusia 27 tahun ditahan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dan gula pasir kasar dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Sementara itu, katanya KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.

“Langkah ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya. – Info X