RANAU: Banyak isu yang dihadapi rakyat negeri ini bermula dengan masalah infrastruktur asas hingga ke isu kemiskinan boleh dijadikan bahan kempen untuk disampaikan kepada pihak yang berkaitan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu bukan bermatlamat untuk memfitnah mana-mana pihak kerana ia adalah realiti yang berlaku di Sabah.
“Banyak isu yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini dari masalah keperluan prasarana asas hingga ke isu kemiskinan boleh diangkat sebagai bahan kempen.
“Matlamatnya bukan untuk memfitnah mana-mana pihak, namun ia adalah realiti yang perlu disampaikan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato khas pada Perkampungan Puteri UMNO di Pusat Latihan Negara, Kundasang, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal.
Bung Moktar berkata Puteri UMNO memainkan peranan penting dalam penggunaan media sosial, bukan sekadar mempamerkan kegiatan parti, malah menjadikan media sosial sebagai medium mengangkat masalah rakyat.
“Biar pihak yang berkenaan tahu dan rakyat tidak terus dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan retorik bagi mengaburi mata rakyat,” katanya.
Katanya, Puteri UMNO boleh memainkan peranan dan terlibat aktif dalam penggunaan media sosial sebagai platfrom mendekati masyarakat khususnya golongan muda.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menggesa ahli Puteri UMNO supaya memiliki anjakan paradigma, terus aktif dan berevolusi seiring dengan perubahan zaman bagi membantu memperkasakan parti.
Katanya, Puteri UMNO perlu menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada kompenan penting dalam organisasi UMNO.
“UMNO adalah sebuah organisasi yang besar, Wanita, Pemuda dan Puteri menjadi sebahagian daripada kompenan yang mendokong kekuatan tersebut.
“Jika salah satu daripada komponen ini lemah, maka akan lemahlah sebuah organisasi,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meminta Pergerakan Puteri UMNO agar menghakis tanggapan bahawa ia tidak mempunyai peranan penting dalam memperkasakan parti.
“Puteri UMNO bukan sekadar penyeri parti, hanya berfungsi ketika pilihan raya sebagai pengisi data, jauh dari itu Puteri UMNO mempunyai peranan serta tanggungjawab yang lebih besar,” katanya. – Info X