KOTA KINABALU: Bukan menang atau kalah yang diburu, sebaliknya mengeratkan hubungan antara pegawai dan kakitangan polis bersama media.
Matlamat itu diperoleh pasukan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ‘ KK Cops’ pada perlawanan persahabatan bola sepak di Stadium UMS, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, penganjuran perlawanan ini juga dapat meningkatkan lagi “Community Policing” anggota IPD Kota Kinabalu bersama media dalam bidang sukan.
“Kita mengadakan perlawanan persahabatan yang bertujuan untuk menyeratkan hubungan di antara media dengan pihak polis.
“Sebagaimana sedia maklum, polis dengan masyarakat ini berpisah tiada jadi kita mulakan dahulu bersama dengan pihak media untuk bersama-sama mengadakan komuniti policing dalam bidang sukan.
“Untuk peringkat pertama ini, kita adakan perlawanan bola sepak dengan pegawai dan anggota di IPD Kota Kinabalu dan bagi menjayakan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya.
Hadir sama, Presiden SJA, Datuk Muguntan Vanar.

Dalam perlawanan persahabatan terbabit, pasukan IPD Kota Kinabalu, KK Cops menewaskan pasukan SJA dengan jaringan 3-0.
Gol KK Cops dijaringkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Khairul Shah Peri.
Pasukan SJA juga berjaya mencipta beberapa peluang untuk menghasilkan gol namun kekebalan gawang KK Cops yang dijaga dengan kemas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, menghampakan harapan ‘geng wartawan’ untuk menamatkan aksi dengan sekurang-kurangnya satu jaringan.
Dalam pada itu, Kasim turut merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan bagi sukan boling bersama SJA dan media di negeri ini dalam masa terdekat. – Info X