KOTA KINABALU: Seramai 350 kakitangan Kumpulan Yayasan Sabah (YS), termasuk termasuk anak syarikatnya menyertai aktiviti Berjalan 10,000 Langkah dengan diketuai Pengarahnya, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, hari ini.
Aktiviti yang diadakan di sekitar Menara Tun Mustapha, Likas itu bersempena Majlis Penutupan Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 2024 Kumpulan Yayasan Sabah yang berlangsung, hari ini.
Berjalan 10,000 Langkah adalah simbolik kepada usaha memperkasakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta dalam komuniti yang bertemakan Keselamatan dan Kesihatan: Tanggungjawab Bersama.
Selain berjalan kaki, acara senamrobik turut diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana program di samping mengukuhkan semangat keakraban dalam organisasi.
Sepanjang Bulan OSH yang berlangsung dari 12 September hingga 10 Oktober 2024, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Peserta berpeluang menghadiri ceramah informatif yang disampaikan oleh pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Yayasan Sabah menyatakan komitmennya memupuk budaya keselamatan dan kesihatan untuk memastikan semua kakitangan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran OSH yang diperlukan untuk masa depan yang lebih selamat.
Ia termasuk mengadakan pelbagai aktiviti demi meningkatkan kesedaran dan memberdayakan peserta dengan pengetahuan yang diperlukan untuk memperbaiki amalan keselamatan di tempat kerja. – Info X