KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mempengerusikan mesyuarat pra-majlis bersama Ahli Parlimen Sabah untuk membincangkan pindaan perlembagaan berkaitan undang-undang kewarganegaraan yang akan dibacakan buat kali kedua dan ketiga pada Persidangan Parlimen yang bermula minggu depan.
Hajiji bersama lapan Ahli Parlimen diberi taklimat oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Pendaftaran dan Organisasi, Kementerian Dalam Negeri, Mimmi Suriati Mat Khalid mengenai perkara itu di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, di sini.
Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Lo Su Fui (Tawau) dan Riduan Rubin (Tenom).
Turut hadir ialah Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh. – Info X