Search

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Merotai

October 11, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dalam keadaan tertiarap di Sungai Merotai, di sini petang tadi.

Mayat mangsa dikenali sebagai Tikung Anak Guma, 71, warga tempatan ditemui terapung oleh orang awam sebelum bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit.

“Setakat ini tidak disyaki terbabit sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tawau dan bedah siasat belum dijalankan untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.43 petang daripada pihak polis untuk membantu mengangkat mayat yang terapung di sungai.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung di Sungai Merotai, Tawau. – Foto/Bomba

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan tali dan strecher.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang. – Info X