Search

6 ditahan, RM1.4 juta wang tunai dirampas dalam operasi ESSCOM

October 12, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Enam individu ditahan dan wang tunai berjumlah RM1,412,932 dirampas dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di sini, semalam.

Semua suspek berusia antara 40 hingga 47 tahun ditahan oleh pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, semua individu terbabit ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh LHDN untuk siasatan lanjut.

Wang tunai RM1.4 juta yang dirampas dalam Op JRS di Tawau. – Foto/ESSCOM

Selain itu, katajya beberapa peralatan seperti telefon bimbit, dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas ketika operasi dijalankan.

“Selaras dengan kejayaan Op JRS ESSCOM yang dilaksanakan pada 11 Oktober 2024 dan menyasarkan sembilan premis di Tawau ini, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM.

“Objek utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fail berkaitan turut dirampas ketika operasi dijalankan. – Foto/ESSCOM

Sementara itu, beliau berkata ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESSZONE bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

Katanya, ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, jelasnya masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – Info X