KOTA KINABALU: Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Kompleks Sukan Likas, di sini, pada 18 hingga 20 Oktober ini.
Anwar dijadual merasmikan program kolaborasi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kerajaan Negeri Sabah pada 2.30 petang, 19 Oktober.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan program bertema ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ itu adalah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Disember 2023.
Beliau berkata penganjuran program itu di Sabah menjadi pelengkap kepada PMR sepanjang tahun ini yang bermula dengan Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak, baru-baru ini.
“PMR 2024 Sayangi Sabah akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik menerusi pengisian reruai daripada kementerian, jabatan, agensi persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah, perkhidmatan Touch Point Rakyat, pameran aset agensi kerajaan, karnival kerjaya, sesi libat urus dan aktiviti luar termasuk pertandingan sukan elektronik serta Konsert Sayangi Sabah.
“KPDN selaku kementerian peneraju bagi penganjuran PMR kali ini turut menyediakan pelbagai aktiviti utama kementerian antaranya Program Jualan Rahmah Madani (PJRM), Kempen Beli Barangan Malaysia, pavilion pameran KPDN dan sebagainya.
“Selain itu, pelaksanaan PMR juga akan melibatkan penyertaan dan sokongan sektor swasta yang akan menawarkan perkhidmatan dan program berkaitan.
“Justeru, orang ramai adalah dijemput untuk hadir beramai-ramai ke Perkarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu bagi menghadiri program PMR 2024 Sayangi Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas melawat tapak program itu, semalam.
Katanya, PMR dilaksanakan bagi menawarkan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat; menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat; meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat Kerajaan; dan membina kepercayaan dan keyakinan kerajaan dengan rakyat melalui pelaporan pencapaian secara berkala.
Armizan berkata, dua komponen perkhidmatan ditawarkan menerusi PMR bagi menggambarkan keberhasilan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan kebajikan rakyat iaitu ‘Perkhidmatan Touchpoint Rakyat’ dan ‘Inisiatif Kesejahteraan Rakyat’.
Melalui pendekatan itu, katanya pelbagai perkhidmatan secara terus dan inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kementerian, jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.
“Sebanyak lapan program tumpuan dan agensi peneraju yang terlibat dengan PMR 2024 Sayangi Sabah iaitu Kesejahteraan Rakyat – Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Agenda Perpaduan – Kementerian Perpaduan Negara (KPN); TVET dan Karnival Kerjaya – Sekretariat Majlis TVET (MTVET) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Perkhidmatan Kerajaan Negeri – Kerajaan Negeri Sabah.
“Selebihnya ialah Kos Sara Hidup – KPDN; Pertanian dan Keterjaminan Makanan – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM); Perkhidmatan Kesihatan – Kementerian Kesihatan (KKM); Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) / Artificial Intelligence (AI) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya. – Info X