KOTA KINABALU: Sabah menerima RM100 juta daripada hasil jualan kargo minyak mentah keenamnya dari Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT), baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan SMJ Energy (SMJE), hasil itu diperolehi melalui jualan kira-kira 300,000 tong minyak mentah yang mewakili kelayakan 50 peratus SMJE dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Semarang yang dibeli pada Mei 2023.
Sehingga kini, Sabah menjual enam kargo minyak mentah yang keseluruhannya menjana hampir RM800 juta pendapatan hasil jualan terkumpul.
“Transaksi ini dijangka menyediakan hasil yang kekal hingga 12 tahun akan datang, sekali gus mengukuhkan ekonomi negeri secara signifikan.
“Kerajaan negeri akan terus menerima manfaat daripada pembabitannya dalam sektor minyak dan gas di Sabah menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang ditandatangani pada 7 Disember 2021,” kata kenyataan itu.
SMJE berkata, CCA dengan PETRONAS memberi Sabah perkongsian hasil, suara dan penyertaan yang lebih baik dalam rantaian nilai minyak dan gas di Sabah. – Info X