KOTA KINABALU: Seorang pemandu maut selepas terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di bawah jalan bertingkat di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini, malam ini.
Mangsa lelaki dikenali sebagai Armada Said, 56, ditemui tersepit dalam Proton Iswara Aeroback dipandunya dan tidak sedarkan diri.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 malam sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi yang terletak dua kilometer dari balai bomba.
“Setiba di tempat kejadian, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Proton Iswara Aeroback dan Perodua Viva bertembung.
“Terdapat tiga mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa di kereta Perodua Viva lelaki berusia 26 tahun cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.
“Dua mangsa di kereta Proton Iswara Aeroback iaitu pemandu disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya lagi, mangsa lelaki di Proton Iswara Aeroback yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE I) untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 8.09 malam,” katanya. – Info X