PAPAR: Parti tunggal masih berpeluang untuk kembali membentuk kerajaan negeri di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony, berkata peluang parti tunggal memenangi pilihan raya tetap ada meskipun bersaing dengan gabungan politik yang lebih besar.
Dalam hal itu, katanya PKDM yang masih setahun jagung sudah siap sedia membentuk kerajaan negeri jika pengundi memberi mandat kepada parti itu.
“Tidak mustahil parti tunggal memenangi PRN17. Soal kerusi, walaupun sebelum ini kita mengumumkan untuk bertanding antara 30 hingga 35 kerusi, tapi kita boleh tambah sehingga 40 atau 50 kerusi jika ada permintaan.
“Berdasarkan 73 kerusi DUN yang ada sekarang, parti yang memenangi 37 kerusi sudah mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya PKDM DUN Limbahau, di sini, petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata demikian ketika ditanya peluang untuk PKDM yang bertanding secara solo untuk memenangi PRN17.

Sementara itu, Peter menyifatkan PKDM sebagai parti baharu yang sama seperti situasi Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 yang tanpa disangka menewaskan parti pemerintah pada ketika itu walaupun baru saja ditubuhkan.
“Kita melihat sokongan yang semakin baik kepada PKDM dan perkembangan ini sama seperti ketika PBS mula-mula bertanding pada 1985 yang berjaya menang pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri pada ketika itu,” katanya.
Peter sebelum ini menyatakan bahawa tiada parti yang mahu bekerjasama dengan PKDM yang dianggap sebagai parti kecil, namun bersedia membentuk kerjasama selepas keputusan PRN17 diperolehi dengan harapan parti pimpinannya boleh menjadi ‘king maker’ atau penentu kerajaan.
Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau mengumumkan tiga perkara yang akan ditekankan dalam manifesto PKDM untuk ditawarkan kepada rakyat Sabah jika berjaya memenangi PRN17 nanti.
Perkara itu berkaitan pendidikan yang menekankan pemberian biasiswa kepada semua anak rakyat Sabah; soal kebajikan yang menekankan pemberian bantuan kepada semua warga tua selepas mencapai umur 60 tahun dan pemberian rumah percuma kepada semua rakyat Sabah yang belum memiliki rumah. – Info X