Search

PKDM tiada hubungan dengan Warisan – Peter

October 13, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan parti pimpinannya adalah proksi Parti Warisan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menegaskan, PKDM tiada hubungan dengan mana-mana parti politik lain, termasuk Warisan.

Malah, katanya tiada yang mahu bekerjasama dengan PKDM kerana ia dianggap parti kerdil atau parti nyamuk.

Jelasnya, dakwaan pihak yang mengaitkan PKDM dengan Warisan adalah satu fitnah lebih-lebih lagi tiada pemimpin atau ahli Warisan yang hadir dalam program parti itu.

“Dakwaan yang mengatakan saya ada hubung kait dengan Warisan itu adalah satu fitnah. Mana ada (orang) Warisan datang hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) PKDM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, di sini, hari ini.

Peter Anthony (kiri) bersalam dengan pemimpin KDM sebaik tiba di majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) PKDM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, Papar.

Bekas Naib Presiden Warisan itu ditanya dakwaan pihak tertentu yang mengatakan PKDM adalah proksi Warisan.

Peter meninggalkan Warisan pada akhir 2021 dan menubuhkan PKDM yang menumpukan kawasan ramai masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM).

Beliau mengulangi pendirian parti pimpinannya itu untuk bergerak solo pada PRN17 tanpa kerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Warisan.

Jelasnya, bukan mudah untuk membuat keputusan dalam satu kumpulan parti yang banyak dan ia antara sebab PKDM memilih bergerak sendiri pada PRN17.

“Kita ini parti kerdil, parti nyamuk, berbeza dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada USNO, LDP dan lain-lain.

“Kita hanya seorang dan bergerak solo kerana kita tahu membuat keputusan dalam satu kumpulan bukan mudah,” katanya. – Info X