Search

Kerajaan Sabah komited jadi peneraju pengurusan GIA

October 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Aspirasi Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) yang perkenalkan di Sabah tahun lalu menjadi komitmen, iltizam dan tekad kerajaan negeri sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri giat mengemudi usaha strategik bagi mencapai hala tuju yang ditetapkan bagi merealisasikan GIA.

Katanya, antara usaha strategik itu ialah memastikan semua 132 agensi Kerajaan Negeri Sabah, merangkumi kementerian, jabatan, pejabat daerah, daerah kecil, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) siap membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sepenuhnya.

Hajiji melancarkan logo rasmi Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sempena KITA 2024 di SICC.

“Pemantauan dan pelaporan status pelaksanaan inisiatif-inisiatif OACP diselia secara maya melalui Sistem i-Dashboard atau Sistem i-DO; siap menyediakan Arahan Ketua Menteri No 1, Tahun 2023 mengenai Penubuhan Unit Integriti dan Governans di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC);

“Siap menyediakan dua Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS) mengenai Penubuhan Unit Integriti di Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan; Menaik taraf sistem aduan daripada Sistem i-Adu 1.0 kepada Sistem i-Adu 2.0 yang lebih mesra pengguna dan komprehensif dalam menyelesaikan aduan kompleks;

“Seramai 44 pegawai Kerajaan Negeri Sabah termasuk pegawai dari GLC telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) yang akan menjadi penggerak utama usaha GIA di Sabah;

“Melaksanakan Program Pengukuhan CeIO Kerajaan Negeri Sabah sebagai usaha mengukuhkan kompetensi CeIO dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Isnin.

Katanya, Sabah juga menjadi Kerajaan Negeri pertama yang mewajibkan Lagu Integriti Perkhidmatan Awam Negeri dimainkan dalam semua majlis rasmi kerajaan bagi mengukuhkan penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.

Strategik lain, katanya ialah berjaya melaksanakan 10 Minggu Integriti Kementerian dan Jabatan Ketua Menteri Tahun 2024 melibatkan 10 kementerian dan Jabatan Ketua Menteri, menyasarkan semua penjawat awam negeri, Badan Berkanun Negeri, PBT dan GLC.

“Inisiatif seumpama ini merupakan satu-satunya dilaksanakan di Malaysia; iaitu mewajibkan setiap agensi Kerajaan Negeri mewujudkan sudut digital GIA di semua laman web rasmi agensi Kerajaan Negeri;

“Melaksanakan pemeriksaan dan perundingan ke atas 50 agensi Kerajaan Negeri setakat bulan September 2024 sebagai langkah memantapkan tadbir urus di agensi yang diperiksa; dan telah melaksanakan Program Kesedaran Tatatertib di 18 agensi PBT di seluruh Sabah sejak tahun 2023,” katanya.

Hajiji bersalaman dengan penjawat awam yang menghadiri KITA 2024 di SICC.

Ketua Menteri berkata, usaha pemantapan pengurusan GIA bukan saja dilaksanakan oleh BIGoNS, malah disokong oleh inisiatif yang dijayakan oleh agensi-agensi yang lain.

Antaranya, beliau berkata, Bahagian Audit Dalam, Kementerian Kewangan Negeri telah dinaik taraf kepada Jabatan Audit Dalam, Jabatan Ketua Menteri mulai Januari tahun ini bagi memperkasa sistem semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Jelasnya, Kementerian Kewangan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan (JPP-KKNS) yang bertanggungjawab memantau prestasi GLC berprestasi rendah serta mencadangkan langkah penyelesaian bagi memastikan pengurusan yang cekap.

“Kementerian Kewangan Negeri turut menambah baik Sistem State Company Information System 5.0 (SCIS 5.0) untuk memantau prestasi dan laporan kewangan GLC secara real-time bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan;

“Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia melakar sejarah sebagai institusi pertama di Malaysia berasaskan TVET yang telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Modul Integriti dan Antirasuah sebagai subjek wajib kepada semua pelajar ILTP,” katanya.

Katanya, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah melaksanakan program di bawah Kluster Tatakelola dan Antirasuah bertemakan ‘Pencegahan Rasuah Tanggungjawab Bersama’.

Siri pertama, katanya berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah (LHDN).

Hajiji menegaskan, komitmen pengurusan tertinggi adalah kunci utama kepada kejayaan pengurusan GIA di Sabah. – Info X