KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegur Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berhubung satu video di TikTok yang menyentuh mengenai PAS di Sabah.
Menerusi satu hantaran di Facebook beliau semalam, Aliakbar menulis satu teguran bertajuk ‘Warkah terbuka buat Datuk Azis Jamman’ yang ditujukan kepada pemimpin Warisan itu.
Dalam tulisannya, Aliakbar membangkitkan kenyataan Azis dalam satu video di TikTok yang antara lain menyebut bahawa PAS sebagai sebuah parti Malaya kini sudah ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Kenyataan itu secara tidak langsung merujuk kepada Aliakbar selaku satu-satunya, selain pemimpin pertama PAS di Sabah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah secara lantikan.
“Saya baru mendengar sebuah rakaman video TikTok suara Datuk (Azis Jamman) yang memberikan komentar mengenai Parti Islam Se-Malaysia (PAS), antara lainnya menyatakan ‘suka atau tidak sudah terlakar dalam sejarah apabila PAS (parti Malaya) masuk dalam Dewan Undangan Negeri Sabah’,” katanya dalam hantaran terbabit.
Aliakbar yang baru menerima Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sempena Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini, berkata perkara seumpama itu tidak wajar keluar dari mulut dan ucapan pemimpin yang matang dalam berpolitik.
“Sebagai mantan (timbalan) menteri, Datuk perlu menerima hakikat perubahan dalam arus siasah semasa sekali gus tidak sewenang-wenangnya memainkan naratif permusuhan.
“Saya juga sarankan untuk Datuk ‘melihat cermin’ sebelum mengeluarkan kenyataan semberono dan celopar. Jika mahu dibangkitkan soal parti Malaya, terlakar juga dalam sejarah bahawa Datuk sebelum ‘menyertai’ Warisan juga dulunya dari UMNO (parti Malaya).
“Hakikatnya, banyak parti yang memasuki medan politik demokrasi di Sabah juga asasnya adalah dari Semenanjung. Ironinya, parti Datuk sendiri telah menubuhkan kawasan dan cawangan di negeri-negeri di Malaya (Semenanjung),” katanya.
Aliakbar berkata beliau yakin rakyat Sabah bijak dan matang dalam menilai pemimpin, tanpa mempersoalkan sama ada dari parti Malaya atau lokal.
“Kepimpinan politik yang bersih, amanah dan berintegriti yang perlu ditawarkan kepada rakyat. Dalam al-Quran jelas menyebut antara ciri kepemimpinan ialah al-Qawiy al-Amin iaitu kuat (bekerja) dan amanah. Bukan soal ras, warna kulit, parti tempatan atau bukan.
“PAS di Sabah sejak ditubuhkan menghampiri empat dasawarsa digerakkan oleh pemimpin dalam kalangan anak-anak Sabah mengikut acuan Sabahan.
“Ini negeri kita. Kitalah sebagai rakyat yang mempunyai jati diri menjaga dan mempertahankan keamanan dan kestabilan yang sedia ada tanpa perlu mengapi-apikan sengketa dan permusuhan,” katanya.
Selaku pemimpin utama PAS Sabah, Aliakbar memberi jaminan bahawa parti itu akan terus berpolitik tanpa menghina, memperkecil atau memburukkan parti lain.
“Marilah kita bawa politik kesatuan dan hindari politik perpecahan serta bertekad untuk terus berkhidmat demi negeri dan negara tercinta.
“Akhir kata, semoga kita semua dapat hidup aman dan menyelesaikan segala pertelagahan dengan matang dan muafakat,” katanya. – Info X