Search

Dua lelaki Indonesia ditahan sembunyi dadah dalam seluar dalam

October 14, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan dua lelaki warga Indonesia menyembunyikan dadah jenis syabu seberat lebih 1.8 kilogram di seluar dalam wanita yang dipakainya gagal, sebelum ditahan polis di Terminal Feri Tawau, di sini Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan polis bantuan, jam 9.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dua lokasi berasingan.

Katanya, suspek pertama ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh polis bantuan ketika cuba melintasi tempat pemeriksaan untuk menaiki feri ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan lima bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,541.43 gram di seluar dalam yang dipakainya.

“Seluar dalam wanita yang dipakai suspek itu juga telah diubah suai dan dilapisi bengkung warna hitam bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jasmin (tengah) bersama pegawai menunjukkan dadah syabu bersama peralatan lain yang dirampas.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek terbabit membawa kepada satu lagi tangkapan seorang lelaki rakan senegaranya yang sudah melepasi balai pelepasan dan menunggu di jeti terminal berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek turut menemukan dua bungkusan plastik di seluar dalam yang dipakainya dan empat lagi di dalam tapak kasutnya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas semua bungkusan plastik berkenaan didapati mengandungi ketulan hablur jernih juga disyaki dadah jenis syabu seberat 269.61 gram,” katanya.

Jasmin berkata, siasatan awal mendapati dadah syabu yang dirampas itu dipercayai untuk dibawa ke negara jiran.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing mereka pula didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 Oktober lepas dan syabu seberat lebih 1.8 kilogram bernilai RM115,860 itu dibawa ke IPD Tawau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X