Search

Kiulu dijadikan pekan pelancongan

October 14, 2024

Info X Reporters

KIULU: Pekan Kiulu dicadang dijadikan sebagai pekan pelancongan, manakala Koperasi SMK Tun Fuad Stephens, di sini, dijadikan koperasi pelancongan.

Menyuarakan cadangan itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata dua inisiatif itu sejajar dengan kedudukan Kiulu sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, dengan lebih 80 operator pelancongan di daerah kecil ini, ia memang sesuai untuk pekan Kiulu dijadikan sebagai pekan pelancongan.

Koperasi pelancongan pula, katanya boleh memberi manfaat kepada SMK Tun Fuad Stephens menerusi kedatangan pelajar antarabangsa ke Kiulu untuk kem musim panas.

“Kita sudah ada pusat informasi pelancongan di Kiulu dan adalah lebih elok kita jadikan pekan Kiulu sebagai pekan pelancongan,” katanya pada Program Gotong Royong Madani di Pekan Kiulu, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata koperasi juga membolehkan SMK Tun Fuad Stephens memainkan peranan aktif dalam sektor pelancongan tempatan dengan menganjurkan aktiviti untuk lawatan pelajar.

Katanya, koperasi boleh memberi pengalaman praktikal kepada pelajar sekolah itu dalam pelancongan, membantu mereka nengadakan libat urus dengan pelawat antarabangsa dan manfaat daripada populariti Kiulu yang semakin dikenali sebagai destinasi perkhemahan musim panas.

Joniston bersama warga Kiulu menyertai Gotong Royong Madani di Pekan Kiulu.

“Ini bukan saja membawa peluang kewangan tetapi juga membantu pelajar membina kemahiran dalam hospitaliti dan pengurusan yang akan memperkayakan lagi perjalanan pendidikan mereka,” katanya.

Kira-kira 300 peserta termasuk pelajar SMK Tun Fuad Stephens menyertai gotong royong untuk membersih dan menambah baik persekitaran setempat itu.

Dalam perkembangan yang lain, Joniston berkata Kiulu bakal mendapat manfaat daripada peningkatan infrastruktur dengan kelulusan pembinaan jambatan kenderaan menghubungkan Kiulu dengan Bayag, di sini, yang dijangka bermula awal tahun depan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) memberitahu saya bahawa kerajaan persekutuan sudah meluluskan pembinaan jambatan berkenaan yang apabila siap akan memberi laluan kepada pembesaran Pekan Kiulu.

“Ini akan membuka peluang untuk pembinaan balai polis baharu, balai bomba, perumahan kos rendah dan rumah kedai yang baharu,” katanya. – Info X