Search

Lelaki warga Pakistan maut terperosok bawah bas sekolah

October 14, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas terperosok di bawah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Kampung Kalabakan, di sini petang tadi.

Mangsa Shah Bakht Amin, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 86 kilometer dari balai bomba.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Kampung Kalabakan, Tawau. – Foto/Bomba

“Kemalangan membabitkan sebuah bas sekolah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Modenas. Penunggang motosikal didapati terperosok di bawah bas.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah bas berkenaan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang,” katanya. – Info X