Search

Presiden Persatuan Alumni KTYS terima PGDK daripada Tun Juhar

October 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Datuk Mohd Pkhruddin Bian dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Sabah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohd Pkhruddin, 47, adalah antara 87 orang dianugerahkan PGDK yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Ulang Rahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 5 Oktober lalu.

Beliau menjawat Presiden Alumni KTYS sejak 2016 selepas persatuan itu didaftarkan secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan sebelum itu menjadi Ahli Jawatankuasa penaja persatuan berkenaan pada 2014.

Di bawah pimpinan beliau, Persatuan Alumni KTYS melaksanakan beberapa program kebajikan dan rekreasi khususnya membantu golongan yang memerlukan termasuk bekas pelajar kolej itu.

Beliau juga bersama Ahli Majlis Tertinggi persatuan menyertai beberapa program yang dilaksanakan oleh Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) membabitkan alumni.

Mohd Pkhruddin adalah bekas pelajar Kolej Yayasan Sabah yang kini KTYS jurusan Diploma Teknologi Binaan Bangunan (1996-1998) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di salah sebuah universiti swasta (2002-2006).

Beliau yang juga Pengarah Kumpulan PKH Group adalah Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Belud, Perwakilan PPK Kota Belud untuk Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah dan Perwakilan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah untuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Mohd Pkhruddin menerima darjah kebesaran PGDK yang membawa gelaran Datuk daripada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu.

Mohd Pkhruddin juga pernah menjawat Ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat Qhazanah Sabah Berhad.

Pada 2016, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Bintang Setia Kinabalu (BSK).

Sementara itu, pada Oktober tahun lalu, beliau menerima Anugerah Ikonik Tahun 2023 pada Istiadat Konvoksyen KTYS Ke-26 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). – Info X