Search

Curi iPhone 13, empat termasuk wanita ditahan polis

October 15, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Empat individu ditahan termasuk seorang wanita selepas terbabit dalam kes curi telefon bimbit jenis iPhone 13, semalam.

Dalam kejadian jam 12.26 tengah hari itu, salah seorang suspek dikatakan ingin membeli telefon bimbit milik mangsa yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, seorang lagi suspek lelaki kemudian menunjukkan bukti transaksi pembayaran yang didakwa dibuat ke dalam akaun ibu mangsa.

Katanya, mangsa kemudian menyerahkan telefon bimbit kepada suspek memandangkan suspek memberitahu mahu beredar kerana meminjam kenderaan orang lain dan perlu diserah kembali.

“Suspek turut menunjukkan bukti ‘screen shot’ bahawa suspek telah membuat transaksi pembayaran ke akaun milik ibu mangsa.

“Namun selepas mangsa bertanya kepada ibunya, tiada wang transaksi diterima. Mangsa cuba meminta suspek keluar dari kenderaan untuk mengambil gambarnya sambil memegang telefon bimbit itu.

“Namun suspek memberi alasan pening kepala dan mengandung sebelum pemandu memecut dan melarikan diri dengan telefon bimbit mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan empat suspek termasuk seorang
wanita.

“Semua suspek berusia 30 hingga 42 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 yang dipercayai barang curi.

“Semua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala suspek wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dalam jual beli secara dalam talian dan memastikan semua transaksi dilakukan dengan selamat. – Info X