PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yakin mampu menawan sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata sasaran utama parti itu ialah kawasan DUN yang ramai pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM), khususnya di kawasan pedalaman dan utara negeri ini.
Beliau bagaimanapun enggan menamakan kerusi terbabit, kecuali Limbahau dan Kundasang yang diakuinya antara 10 kerusi yang diyakini mampu dirampas PKDM.
“Jangan kasitau dulu, nanti mereka (parti lawan) susun strategi, susah kita, tapi saya yakin, Limbahau dan Kundasang pasti (menang),” katanya pada pelancaran jentera pilihan raya PKDM PRN17 bagi DUN Limbahau, di sini, Ahad lalu.
Beliau diminta mengulas ucapannya pada majlis itu yang antara lain menyebut 10 kerusi yang bakal ditandingi PKDM pada PRN17 nanti diyakini mampu dimenangi.
PKDM katanya berhasrat bertanding lebih 35 kerusi dan mungkin mencecah hingga 40 atau 50 kerusi jika ada permintaan untuk parti itu bertanding lebih banyak kerusi.
Ketika ini PKDM memiliki dua kerusi DUN iaitu Melalap yang diwakili sendiri oleh Peter dan DUN Bandau yang disandang Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.
Sementara itu, Peter turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan calon PKDM untuk mengalahkan pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam di Kundasang jika Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bertanding semula.
“Jika pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kita berjaya menewaskan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di kerusi Parlimen Kota Marudu, kali ini kita yakin mengalahkan pemangkunya pula di kerusi DUN Kundasang,” katanya.
Ketika PRU15 pada November 2022, Wetrom yang dicalonkan PKDM di Kota Marudu, menewaskan Maximus selaku penyandang selama tujuh penggal dengan majoriti 8,174 undi.
Bersandarkan pencapaian itu, PKDM yakin lebih banyak kerusi DUN yang kini disandang wakil KDM mampu dirampas parti itu, termasuk Kundasang dan Limbahau, selain mempertahankan kemenangan di Melalap dan Bandau.
Di Limbahau, PKDM yakin pengundi kawasan berkenaan akan memberi kemenangan kepada calonnya nanti selepas penyandangnya, Datuk Juil Nuatim yang sebelum ini bersama PKDM, beralih arah dan kini bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Peter dan Juil bersama-sama menubuhkan PKDM pada akhir 2021 selepas kedua-duanya meninggalkan Parti Warisan yang menjadi tiket mereka bertanding pada PRN16, September 2020.
Juil bagaimanapun mengumumkan meninggalkan PKDM pada 21 Mei 2023, iaitu sebelum pembentangan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti di DUN Sabah dan kemudian diterima menjadi ahli langsung GRS beberapa hari kemudian. – Info X