Search

Enam lelaki ditahan disyaki pukul pekerja kedai roti

October 18, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan enam lelaki kerana disyaki memukul seorang pekerja kedai roti dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa dikatakan memandu kenderaan untuk menghantar pulang rakan sekerjanya di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kenderaan dipandu mangsa dibaling dengan objek keras oleh seorang individu yang kononnya mahu melempar ke arah seekor anjing, namun objek itu terkena kenderaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila suspek utama melempar objek keras dan mengenai kenderaan mangsa.

“Suspek kemudoan memberikan alasan kononnya untuk melempar objek berkenaan ke aras seekor anjing. Ketika itu mangsa ingin meminta maklumat diri suspek bagi memudahkan urusan membaiki kerosakan.

“Namun datang lima lelaki disyaki rakan suspek lalu menyerang mangsa dengan menggunakan objek keras dan tajam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, susulan kejadian itu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sekitar kampung berkenaan.

“Soal siasat, pasukan polis menahan lima lagi suspek berusia 18 hingga 37 tahun di sekitar lokasi yang sama disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – Info X