Search

Peruntukan besar pastikan Sabah tidak ketinggalan – PM

October 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan yang besar untuk Sabah dan yang tertinggi dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan tiada masyarakat di negeri ini ketinggalan daripada menikmati prasarana yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata atas sebab itu juga beliau mahu semua projek yang dimasukkan dalam Belanjawan 2025 di Sabah termasuk Lebuhraya Pan Borneo disegerakan.

“Dalam Belanjawan Madani yang saya bentang semalam, peruntukan kepada Sabah adalah yang tertinggi dibandingkan dengan mana-mana negeri di Malaysia .

“Untuk apa? Ia untuk pastikan tidak ada masyarakat ketinggalan daripada prasarana yang baik. Lebuhraya Pan Borneo mesti siap ikut jadual, jalan-jalan termasuk desa dan pedalaman diperbaiki.

“Sekolah-sekolah baharu, sekolah-sekolah lama diperbaiki, klinik-klinik kesihatan dan hospital. Kemudian segerakan peningkatan Lapangan Terbang Tawau sebagai lapangan terbang yang lebih baik.

“Jadi, ini yang kita lakukan sebagai satu pasukan. Kita lihat bagaimana menteri-menteri, penjawat awam dan pegawai pelaksana untuk melaksanakannya,” katanya pada Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Sabah menerima RM6.7 bilion peruntukan pembangunan pada tahun depan seperti dibentang dalam Belanjawan 2025.

Jumlah itu meningkat sedikit berbanding RM6.67 bilion yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada tahun ini. – Info X