Search

PM minta Kampung Angkat Madani dilaksana di Sabah

October 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dicadang melaksanakan Kampung Angkat Madani dengan menjadikan kampung tertentu sebagai kampung angkat anggota jemaah Kabinet negeri.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara langkah untuk memberi perhatian terhadap pelbagai perkara yang berlaku di sesebuah kampung.

“Saya minta kalau boleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ambil tindakan susulan, pilih satu kampung sebagai ujian, sebaiknya macam saya, saya pilih kampung sendiri, jadi senang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri menjadikan Kampung Cherok Tok Kun di Pulau Pinang sebagai kampung angkat untuk diberi perhatian dari pelbagai sudut.

“Kampung angkat saya, umpamanya saya tengok ada masalah keciciran, dadahpun ada, masalah penggangguan ada dan masalah anak-anak yang nak pergi TVET. Semua kita perhatikan dan minta seorang bantu selesaikan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, melalui kaedah itu, pemimpin dapat melihat apa yang berlaku di kampung angkat masing-masing dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu. – Info X