Search

Sabah menawarkan potensi besar peluang pelaburan dalam Ekonomi Biru – Hajiji

October 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menawarkan peluang pelaburan yang besar dalam bidang Ekonomi Biru berdasarkan sumber sedia ada yang luas dan belum diterokai sepenuhnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk potensi tuaian tahunan ikan dan udang yang dianggar lebih 491,000 tan metrik dengan nilai RM3.25 bilion.

“Tapi, sehingga kini kurang daripada 50 peratus potensi tangkapan yang diteroka.

“Walaupun ada lebih 3,000 kapal perikanan, kebanyakannya beroperasi dalam lingkungan 30 batu nautika dari pantai.

“Sekarang hanya tujuh kapal pergi ke kawasan laut dalam. Ini adalah peluang untuk nelayan industri mewujudkan lebih banyak fasiliti penuaian laut dalam.

“Autonomi diberi kepada Sabah untuk melulus lesen bagi aktiviti maritim seperti penangkapan ikan laut dalam adalah rezeki kepada negeri ini dalam usaha kita membangunkan Ekonomi Biru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Anwar merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC) 2024 sambil disaksikan Hajiji di SICC.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji bagaimanapun berkata Ekonomi Biru menawarkan lebih banyak peluang, bukan setakat perikanan laut dalam.

“Ada empat komponen Ekonomi Biru yang boleh diteroka, antaranya tenaga lautan boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan teknologi marin,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Ekonomi Biru, penuaian tenaga melalui lautan juga mungkin boleh dilaksanakan.

Katanya, bagi tujuan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April lalu meluluskan Enakmen Penukaran Tenaga Termal Lautan (OTEC).

Langkah itu katanya bagi membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) meneroka penukaran tenaga haba lautan sebagai sumber tenaga boleh baharu.

Jelasnya, teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu di antara permukaan panas lautan dan suhu sejuk air dalam untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bahan api.

“Kesan terhadap alam sekitar adalah rendah dan ia boleh menghasilkan air bersih untuk minuman dan pertanian.

“Ia juga boleh menyediakan penyejukan, selain tenaga yang boleh diharap untuk komuniti di pesisir pantai,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya Sabah yang mempunyai pantai sepanjang 1,700 kilometer memiliki rizab 75 peratus Tenaga Termal Lautan di Malaysia.

Beliau berkata, kajian menunjukkan Sabah boleh menghasilkan sehingga 20,000 megawatt (MW) tenaga elektrik menggunakan Tenaga Termal Lautan.

Bagi meneroka potensi itu, katanya kerajaan negeri mencari pelabur untuk bekerjasama bagi menuai tenaga berkenaan.

Katanya, ia juga adalah peluang keemasan kepada Sabah untuk menjadi peneraju dalam penjanaan tenaga hijau yang boleh menyelesaikan banyak isu tenaga yang dialami di negeri ini.

Malah, katanya Sabah mungkin boleh membekal tenaga elektrik ke wilayah jiran seperti Indonesia pada masa depan berikutan kedudukan lembangan OTEC Sabah yang dekat dengan Kalimantan. – Info X

Pix – Anwar merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC) 2024 sambil disaksikan Hajiji di SICC.

Pix 2 – Anwar melihat pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC) 2024 di SICC.