KOTA KINABALU: Tujuh kampung menerima dana bagi melaksanakan projek merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat membabitkan peruntukan berjumlah RM598,972 di bawah Program Sejati Madani.
Dana terbabit diserahkah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Madani Rakyat Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam.
Antaranya program yang dijalankan ialah jahitan di Kampung Shantung, dekat sini dan program kitar semula kayu palet kepada perabot, perhiasan rumah dan barangan berguna di Kampung Air Ganang, Penampang, masing-masing menerima dana RM100,000.
Selain itu, Kampung Raganan di Tuaran melaksanakan projek ternakan ketam nipah dalam kolam, manakala Kampung Melugus di Papar melaksanakan projek penanaman cili fertigasi, masing-masing turut menerima dana RM100,000.
Kampung Baginda Ulu, Keningau pula menerima dana RM100,000 untuk melaksanakan pertanian komersial penanaman pisang Sabah, manakala Kampung Napong 2, Ranau melaksanakan program ‘jungle trekking’ Bukit Tompong juga dengan dana RM100,000.

Sementara itu, Kampung Kebayau di Sepanggar pula menerima dana sebanyak RM98,972 bagi melaksanakan program penghasilan kerepek ‘tuhau’ pelbagai perisa.
Program Sejati Madani dilaksanakan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) membabitkan peruntukan berjumlah RM1bilion.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, kelmarin, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penerusan program berkenaan pada tahun depan juga dengan dana RM1 bilion.
Terdahulu, dalam ucapannya pada Program Madani Rakyat peringkat negeri Sabah, semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meningkatkan lagi usaha itu melalui ICU JPM dengan kerjasama semua pihak berkaitan.
“Mengenai Program Sejati Madani, saya umumkan RM1 bilion dan ini perkara baharu. Wang RM50,000 sampai RM100,000 kita beri ke setiap kampung, kalau di Sarawak rumah panjang.
“Ada RM50,000, ada RM60,000 ikut projek yang dia mahu laksanakan. Kalau di bandar, yang miskin bandar, dia nak buat apa, orang kampung sendiri yang mesyuarat apa yang mahu dibuat, seperti pelihara ayam,” katanya. – Info X