KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di Beaufort dan Sipitang, hari ini.
Operasi yang dijalankan secara serentak bermula jam 12.05 tengah malam itu menumpukan kawasan perumahan setinggan, ladang sawit dan tapak pembinaan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sepanjang operasi selama selama tujuh jam itu, seramai 215 individu diperiksa.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 65 PATI ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Daripada operasi itu, kita telah memeriksa seramai 215 individu dan seramai 64 pendatang asing tanpa izin yang telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Ia membabitkan 18 lelaki dewasa dan 16 perempuan dewasa warga Filipina dan seorang Indonesia serta 12 kanak-kanak lelaki seramai dan 17 kanak-kanak perempuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM Sabah, di sini, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan berusia antara satu bulan hingga 79 tahun dan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Sementara itu, dalam operasi sama, SH Sitti Saleha berkata, pasukan operasi menahan dua beradik tanpa dokumen.
Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati kedua-dua individu berusia belasan tahun ini didapati warganegara berdasarkan kepada pengesahan kakak mereka yang mempunyai Mykad.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua beradik ini adalah warganegara tetapi ibu bapa mereka telah bercerai sehingga dokumen tidak dapat diuruskan secara sempurna.
“Dan ini memang menyukarkan kita untuk membuat tangkapan. Dalam hal ini kita dapati anak kakak kepada dua adik-beradik ini memang mempunyai kad pengenalan.
“Ibu bapa mereka telah bercerai dan ibu mereka tidak dapat dikesan lagi kerana telah berada di Kuala Lumpur dan mereka dijaga oleh nenek mereka warga asing yang mempunyai dokumen IM13,” katanya. – Info X