Search

Hujan berterusan diramal tiga hari bermula Rabu

October 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebahagian kawasan pedalaman dan seluruh kawasan pantai barat hingga ke Kudat dan Beluran diramal mengalami hujan berterusan bermula Rabu hingga Jumaat ini.

Berdasarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), situasi cuaca itu turut diramal berlaku di Labuan.

Bagi kawasan pedalaman, katanya daerah yang dijangka mengalami hujan berterusan selama tiga hari itu ialah Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.

Pada masa yang sama Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu juga dikeluarkan berkuat kuasa pada 23 hingga 27 Oktober 2024.

MET Malaysia dalam kenyataan itu berkata, situasi cuaca berkenaan berdasarkan analisis model cuaca yang dijangka berlaku penumpuan angin di Sabah hingga 27 Oktober ini.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – Info X