Search

8 kaki judi sabung ayam dicekup

October 21, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Lapan kaki sabung ayam termasuk seorang warga emas yang leka melihat ayam mereka beraksi ditahan dalam serbuan polis di kawasan Kampung Pasir Putih, di sini petang semalam.

Semua lelaki berusia antara 29 hingga 72 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh anggota dari Balai Polis Tawau, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan itu hasil maklumat awam yang bimbang dengan peningkatan aktiviti judi sabung ayam di kawasan mereka.

“Dalam serbuan itu, seramai lapan individu terdiri daripada empat warga tempatan dan empat lagi warga asing ditahan.

“Pasukan serbuan turut merampas empat ayam sabung yang masih hidup, manakala dua ekor lagi sudah mati akibat daripada pertaruhan sabung ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana penganiayaan terhadap haiwan.

Sementara itu, Jasmin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang, untuk terus menyalurkan maklumat melalui talian hotline Polis Daerah Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). – Info X