Search

Program Madani Rakyat Sayangi Sabah capai objektif – Armizan

October 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, di sini, sejak Jumaat lalu, berjaya mencapai objektif untuk merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di akar umbi.

Sabah adalah negeri terakhir penganjuran program itu menerusi kolaborasi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah.

Menerusi satu kenyataan, hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sehingga hari terakhir semalam, seramai 485,474 pengunjung direkodkan mengunjungi program berkenaan.

Katanya, program yang dirasmijan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membabitkan pembukaan 36 unit reruai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, selain sektor swasta.

“Antara komponen yang disediakan adalah sebanyak 215 perkhidmatan ‘touchpoint’ rakyat, penglibatan 118 usahawan Jualan MADANI, pameran aset empat agensi kerajaan, 14 majikan karnival kerjaya, 40 acara sesi libat urus pentas, 20 aktiviti luar, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan 18 aktiviti agenda belia.

“Kepelbagaian pengisian dan perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program tiga hari itu berjaya menarik seramai 485,474 orang pengunjung,” katanya.

Armizan pada sidang media selepas pelancaran KITA GEMPUR oleh Perdana Menteri pada Program Madani Rakyat Sayangi Sabah di Likas.

Armizan berkata, sempena perasmian PMR Sayangi Sabah itu, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif KITA GEMPUR atau Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan yang menjadi langkah strategik kerajaan melalui KPDN.

Katanya, tujuan gerakan itu ialah untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

“Dengan pelancaran ini, kerajaan melalui KPDN beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan surat hak milik tanah anak negeri (Native Title) kepada wakil penerima dari lapan daerah di Sabah.

Jelasnya, pengeluaran surat hak milik tanah itu adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) melalui bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah dengan objektif untuk memelihara dan melindungi kepentingan Anak Negeri Sabah atas tuntutan hak tanah adat dan pemilikan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah.

“Sebagai salah satu langkah meningkatkan sosio ekonomi rakyat melalui pendekatan ‘Community Based Project’, Perdana Menteri turut menyerahkan cek cura (mock-cheque) kepada wakil penerima Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dan melancarkan Nombor Plat Istimewa (NPI) MADANI untuk bidaan,” katanya.

Armizan berkata, KPDN selaku kementerian peneraju menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak merentasi kementerian dan agensi persekutuan serta negeri, syarikat swasta, usahawan dan warga Sabah yang hadir memeriahkan program itu. – Info X