Search

Velvet Aduk, Elica Paujin antara artis meriahkan ROK 2024 di Lintasan Deasoka

October 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Velvet Aduk bersama beberapa artis tempatan dan antarabangsa bakal menghiburkan orang ramai dalam program pelancongan budaya, Rhythms Of Kinabalu (ROK 2024) di Lintasan Deasoka, di sini, bermula Jumaat ini.

Program itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sabah dengan kerjasama Pertubuhan Produksi Seni Kreatif Kota Kinabalu.

Selain Velvet, artis lain yang turut menghiburkan orang ramai pada program itu, antaranya ialah Elica Paujin, Tuni Sundatang, Rapot Sanggong, Afiezal Fahmi, Fauziah Gambus, Dyana Baiduri, Marllenney, The Male-Efficient dan artis jemputan antarabangsa dari Korea Selatan.

Acara dijadual berlangsung mulai jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, bermula pada Jumaat ini hingga Ahad, manakala perasmiannya dijadual disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew pada Sabtu.

Berdasarkan surat jemputan kepada media, penganjur menyifatkan prpgram ROK2024 bakal menonjolkan kelainan dan keunikan dengan mempersembahkan lagu-lagu karya etnik Sabah yang berkonsepkan ‘World Music’ melibatkan penggiat seni dan kumpulan muzik tradisional sekitar Sabah.

Katanya, selain persembahan utama artis, terdapat juga aktiviti kesenian dan kebudayaan lain yang disusun untuk pengunjung yang hadir.

Antaranya ialah Bazar Seni ROK, Pameran kraf, Bengkel Muzik ROK, ROK Music Run, Interaktif Seni Budaya dan pelbagai lagi. – Info X