KUDAT: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) giat mendekati golongan muda sebagai antara usaha mempersiapkan jentera dan strategi kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Emmie Martin Idang, berkata bagi merealisasikan perjuangan dan hala tuju itu, jelajah Gema Beliawanis yang dijalankan sejak tahun lalu diteruskan untuk mendekati seramai mungkin golongan muda, khususnya wanita.
Katanya, pendekatan untuk mendekati anak muda dilakukan dalam bentuk ilmiah dan acara yang menyeronokkan sejajar dengan jiwa golongan berkenaan.
“Pengisian program adalag berbentuk ilmiah dan pada masa yang sama ada juga aktiviti ‘fun’ yang dijalankan. Tidak boleh lah kita terlalu serius, inilah keseimbangan yang kita mahu apabila menjalankan program untuk menarik minat orang ramai.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor banyak pencapaian dan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat Sabah, anak muda khususnya.
“Sebagai contoh, RM470 juta diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dalam belanjawan, kita diberikan banyak biasiswa dan bantuan seperti BUDI, BAKTI, BAGUS dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin Beliawanis Gagasan Rakyat Zon 1 di Dataran Tomborungus, di sini, baru-baru lalu.
Hadir sama Naib Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Noorazmahirah Datuk Noorzain; Ketua Penyelaras Beliawanis Zon 1, Sonita Lim yang juga Ketua Beliawanis bahagian Tanjong Kapor serta ahli-ahli Beliawanis Zon 1.
Program itu disertai kira-kira 200 ahli pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat dari Zon 1 yang merangkumi 15 bahagian.
Emmie berkata, pelaburan asing seperti SK Nexilis dan Kibing banyak mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini, manakala kemasukan DP World untuk pembangunan pelabuhan dan logistik di Sepanggar turut diyakini mengembangkan lagi ekonomi Sabah.
Jelasnya, semua usaha di bawah pimpinan Hajiji itulah yang membolehkan kerajaan negeri menjana kutipan hasil mencecah lebih RM6 billion.
“Maklumat dasar dan polisi ini kita sebarkan sehingga ke peringkat akar umbi terutama wanita muda, beliawanis, supaya anak-anak muda tahu usaha dan pencapaian kerajaan yang ada sekarang,” katanya. – Info X