Search

28 pintu rumah kongsi pekerja musnah terbakar di Tawau

October 24, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 28 pintu dari dua blok rumah kongsi pekerja musnah dalam kebakaran di sebuah kilang di Jalan Pitas, Kampung Pitas Bombalai, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.50 pagi.

Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama lima buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan dua blok rumah kongsi pekerja menempatkan 16 pintu sudah musnah terbakar.

“Pasukan BBP Tawau yang dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) menggunakan tiga pancutan dari sumber air kolam berhampiran dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba dibantu orang awam memadam kebakaran rumah kongsi pekerja di Kampung Pitas, Bombalai, Tawau.

Menurutnya, tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa mangsa di laporkan berlaku.

“Pasukan bomba masih menjalankan operasi pemadaman dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X