Search

Mayat remaja lelaki ditemui di Tungku

October 25, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Mayat seorang remaja lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di Kampung Lok Bangga, Tungku, di sini Rabu lalu.

Mayat dikenali sebagai Nasir Abdu Hadi, 17, itu ditemukan oleh penduduk yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.40 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama pegawai perubatan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

“Menurut saksi di tempat kejadian mengatakan beliau menemukan lelaki berkenaan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri, sebelum membuat laporan polis.

“Pemeriksaan awal pada badan mayat dan sekitar lokasi kejadian berkenaan tidak menemukan sebarang unsur-unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut laporan mati mengejut (SDR).

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala disyaki terhentak benda keras kerana kemalangan,” katanya.

Dzulbaharin meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes untuk membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Ketua Balai, Balai Polis Tungku Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di talian 017-8293359,” katanya. – Info X