Search

PBS akan bincang peranannya dalam GRS

October 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka membincangkan peranannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-39 parti itu minggu depan.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata perwakilan parti itu dari seluruh negeri juga dijangka membincangkan kerjasama politik yang dijalin dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Persidangan itu akan menyaksikan pembentangan beberapa usul yang menyentuh mengenai isu semasa dan pembangunan di negeri ini.

“Perbincangan juga dijangka mencakupi peranan PBS sebagai anggota utama GRS dan kerjasama politiknya dengan STAR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Persidangan Tahunan Perwakilan PBS Ke-39 itu dijadual berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang pada Isnin dan Selasa ini.

Joniston berkata, lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati dijangka menghadiri persidangan dua hari itu yang bermula dengan persidangan sayap wanita dan pemuda pada Isnin.

Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dijadual merasmikan persidangan itu pada Selasa, manakala pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam akan merasmikan persidangan sayap wanita dan pemuda. – Info X