KOTA BELUD: Sebanyak 11 buah rumah atas air di Kampung Buah Pandai, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.09 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 13 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati api sedang marak dan operasi memadam dilakukan dan api berjaya dikawal sejam kemudian.
“Kebakaran membabitkan 11 rumah atas air jenis tidak kekal dengan luas keseluruhan 1,627 meter terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan 16 buah rumah lagi daripada terbakar di kawasan perkampungan atas air berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operssi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air tangki jentera dan air laut.
“laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd. – Info X