KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot tunda bersama juragan selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan bagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Bot tunda berkenaan ditahan PPM Kudat selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berlabuh di kawasan laut Esplanade Sidek, di sini, kira-kira jam 7 malam, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Arman Awang Asal berkata, hasil pemeriksaan di ruang bawah bot itu mendapati terdapat enam tangki simpanan yang diubah suai.
Katanya, keenam-enam tangki simpanan itu diubah suai bagi menampung minyak diesel dan satu tangki lagi di ruang haluan hadapan bot.

“Pemeriksaan lebih lanjut juga mendapati terdapat peralatan untuk menjalankan kegiatan menjual minyak diesel.
“Juragan berusia 33 tahun gagal mengemukakan sebarang permit membeli minyak subsidi dan dokumen kepemilikan diesel berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan tangkapan dan rampasan terhadap bot serta barang yang disyaki terbabit dalam penyelewengan minyak diesel.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah hampir RM200,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X