Search

Sang Badak menang besar di Likas

October 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC melakar kemenangan besar di gelanggang sendiri selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Gol Sabah bermula seawal minit kedua permainan menerusi sepakan penalti oleh pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani.

Sepakan penalti itu elepas pemain Sabah, Gabriel Peres dijatuhkan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali sejurus tuan rumah memulakan serangan ketika perlawanan baru bermula.

Bagaimanapun, selepas mendahului perlawanan, usaha skuad Sang Badak menambah gol menerusi beberapa serangan berbahaya dapat dihalang pemain lawan hingga minit ke-45 babak pertama.

Malah, tuan rumah dikecewakan pada minit tambahan separuh masa pertama apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Jose Cleylton sebelum wisel waktu rehat dibunyikan pengadil.

Pada babak kedua, Sabah bangkit semula menerusi serangan awal permainan yang berjaya dimanfaatkan penyerang importnya, Joao Pedro untuk jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-48.

Kedudukan di hadapan dengan 2-1 bagaimanapun sekali lagi dapat disamakan pasukan lawan selepas Kedah melakar gol kedua untuk mengikat Sabah dengan kedudukan 2-2 pada minit ke-62.

Jaringan Milos Gordic itu berlaku ketika pergelutan dengan penjaga gol Sabah, Damien Lim di hadapan gawang tuan rumah, sebelum Gordic berjaya menguis bola ke arah gawang.

Namun, kejayaan Kedah mengikat Sabah hanya berlaku seketika apabila Pedro meledak gol keduanya pada minit ke-68 sekali gus meletakkan Sabah kembali di hadapan dengan kedudukan 3-2.

Kemenangan yang dilihat sudah berpihak kepada Sabah itu belum berakhir setakat tiga gol, sebaliknya dua lagi pemain skuad Sang Badak berjaya menambah gol keempat dan kelima pada minit ke-83 dan masa tambahan minit akhir perlawanan.

Dua gol itu masing-masing dirembatkan S Kumaahran dan Gary Steven Robat, sekali gus menutup peluang Kedah untuk melakukan gol penyamaan. – Info X