Search

Lelaki mengamuk guna parang ditahan

October 29, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas mengamuk menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.

Kejadian itu disedari oleh seorang wanita selepas suspek datang ke rumahnya sambil menjerit dan membawa sebilah barang untuk membuat provokasi supaya bapa wanita itu keluar dari rumah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima laporan daripada wanita itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Imam, di sini.

Katanya, suspek berjaya dikesan dan seterusnya menahan suspek yang disyaki dalam kes ugutan jenayah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 20-an dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X