Search

Lelaki ditahan pecah rumah babit kerugian RM28,012

October 30, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Jen Loong, di sini, yang mengakibatkan kerugian RM28,012.

Lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit ditahan di sebuah rumah di Kampung Pukat, di sini, pada 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pada mulanya polis menerima laporan kejadian daripada mangsa pada Isnin lalu.

“Mangsa mendapati rumah miliknya yang terletak di taman berkenaan dipecah masuk kemudian tampil bagi membuat laporan polis di Balai Polis Tawau.

“Akibat kejadian itu, mangsa kehilangan beberapa peralatan rumah dan mengalami kerugian dianggarkan RM28,012,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bertindak atas laporan, Jasmin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan menahan suspek.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan polis menemui beberapa peralatan rumah dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes pecah rumah yang sedang disiasat.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dan kunci. Suspsk dan dan semua barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya. – Info X