LAHAD DATU: Seorang pekerja ladang warga Filipina maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Simpang Ladang seberang, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini semalam.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Silabukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, kemalangan berlaku ketika kenderaan MVP jenis Mitsubishi Xpander yang dipandu oleh wanita warga Filipina berusia 62 tahun bersama dua penumpang hendak keluar dari Simpang Ladang Seberang.
“Motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Tungku ke Lahad Datu, tiba-tiba terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Silabukan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan disahkan oleh pegawai perubatan klinik Kesihatan berkenaan.
Menurut lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sampel darah pemandu dan penunggang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk ujian alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau berkata mana-mana individu yang melihat kejadian itu boleh terus menghubungi pegawai penyiasar trafik IPD Lahad Datu, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu. – Info X