KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyasarkan lebih 1,000 rumah setinggan yang dibina di atas tanah kerajaan dirobohkan menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sehingga kini IPD Kota Kinabalu sudah merekodkan sebanyak 709 perobohan membabitkan beberapa kawasan setinggan.
Katanya, jumlah yang direkodkan sehingga minggu lalu itu ditumpukan bagi operasi perobohan di kawasan Numbak, Sepanggar serta Kayu Madang.
“Operasi ini akan diteruskan sehingga kita mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 2,000 rumah bagi Sabah.
“Melihat kepada situasi sekarang, jumlah ini dijangka akan dicapai malah akan melebihi KPI keseluruhan berikutan IPD Kota Kinabalu menyasarkan untuk merobohkan lebih 1,000 setinggan haram sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima tugas bagi jawatan Ketua Polis Balai Inanam, Luyang serta Alamesra di Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.

Kasim berkata, perobohan ditumpukan di kawasan yang banyak didiami oleh pendatang asing tanpa uzin (PATI), lokasi penagihan dadah serta kawasan yang berpotensi untuk terlibat dalam kegiatan jenayah terutamanya kecurian kabel selain kecurian bekalan elektrik dan air.
Mengulas lanjut, Kasim berkata, sepanjang operasi perobohan itu dilaksanakan, pasukannya perlu berdepan cabaran kawasan berpaya dan menghalang jentera berat daripada masuk ke kawasan setinggan berkenaan.
“Oleh itu operasi perobohan struktur haram ini terpaksa dilakukan menggunakan sepenuh kudrat daripada anggota itu sendiri iaitu menggunakan tukul atau tali bagi merobohkan rumah setinggan.
“Pada masa sama kita juga berdepan dengan isu keselamatan kerana anggota polis perlu melalui jambatan yang tidak kukuh iaitu hanya sekeping kayu untuk ke kawasan setinggan.
“Untuk memastikan keselamatan lebih terjamin kita juga bekerjasama dengan Sabah Elektricity Sdn Bhd dari segi pemeriksaan pemasangan sambungan elektrik haram yang didapati banyak dipasang di sepanjang laluan ke rumah setinggan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, semua penghuni memberikan kerjasama untuk berpindah berikutan notis amaran sudah dikeluarkan sebulan lebih awal sebelum proses perobohan dijalankan.
“Untuk memastikan usaha perobohan ini lebih berkesan, pihak polis bekerjasama dengan pemilik tanah atau agensi berkaitan untuk melaksanakan tindakan susulan sebaik operasi perobohan dilaksanakan.
“Ia termasuklah meletakkan notis amaran untuk tidak memasuki kawasan terbabit serta memasang pagar dan bagi pihak polis sendiri, kita akan terbangkan dron dari Pusat Gerakan Udara (PGU) bagi memantau kawasan terbabit dan memastikan tiada pembinaan semula struktur haram di sana,” katanya. – Info X