KOTA KINABALU: Sabah FC mengutip tiga mata lagi di gelanggang sendiri selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Tiga jaringan Sang Badak terhasil pada babak pertama dan satu pada separuh masa kedua, manakala KDN menjaringkan gol tunggal pada babak pertama.
Sabah membuka jaringan pada minit ke-16 selepas mendapat rentak setelah kedua-dua pasukan lebih banyak bermain di kawasan tengah padang sejak minit awal permainan.
Jaringan pertama tuan rumah itu disudahkan penyerangnya, Joao Pedro hasil hantaran jauh Stuart John Wilkin yang disambut dengan tandukan ke dalam gawang KDN.
Selepas gol pertama itu, Sabah makin bersemangat untuk melakukan cubaan bagi menambah jaringan, namun situasi sebaliknya berlaku apabila KDN berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26.
Jaringan berlaku akibat kesilapan pertahanan Sabah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti hingga membuka peluang kepada pemain KDN untuk mencuri ruang menghasilkan jaringan.
Bagaimanapun, jaringan Mohd Fazrul Amir Md Zaman itu hanya diraikan pemain KDN tidak sampai seminit apabila gerakan balas pemain Sabah berjaya menewaskan penjaga gol KDN, Mohd Fikri Che Soh pada minit ke-27, menerusi jaringan Muhammad Farhan Roslan.
KDN sekali lagi hampir dapat menyamakan kedudukan menerusi situasi kucar-kacir di hadapan gawang Sabah pada minit ke-38, namun penjaga garisan sudah mengangkat bendera menandakan ada pemain KDN dalam kedudukan ofsaid.
Selesai situasi itu, Sang Badak melakar satu lagi jaringan hasil serangan balas yang sekali lagi disudahkan Pedro melalui tandukan selepas menerima hantaran daripada Stuart pada minit ke-44, sama seperti situasi jaringan pertamanya pada minit ke-16.
Jaringan itu meletakkan Sabah di kedudukan selesa dengan 3-1 untuk membawa cabaran seterusnya pada separuh masa kedua.
Pada babak kedua, Sabah berjaya menambah satu lagi jaringan menerusi Gabriel Peres pada minit ke-59 menjadikan jurang gol memisahkan Sabah dengan KDN di Stadium Likas semakin melebar dengan kedudukan 4-1.
Kedudukan itu kemudian kekal hingga ke minit penuh permainan termasuk tambahan masa tiga minit, sekali gus menyaksikan Sabah sekali lagi berjaya mengutip tiga mata di gelanggang sendiri. – Info X